Sunday, February 14, 2010

Kilauan Olahraga 2008



Kilauan Olahraga


Oleh : Cikgu Firman

Stadium Bukit Jalil:
Lima Pingat Satu kilauan emas, Dua perak Dua gangsa berjaya dibawa pulang daripada Kejohanan Olahraga Zon Ampang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Hulu Langat (MSSDHL 2008) pada tahun ini. Pencapaian ini sekaligus memperbaiki perolehan pingat tahun lepas dengan hanya mengutip Dua gangsa.

Kejayaan ini ternyata di luar jangkaan kontinjen terutama penyumbang pingat terbanyak datangnya daripada barisan atlit tahun 5 yang dijangka melakukan lebih banyak kejutan pada tahun hadapan. Justeru itu kerjasama dan sokongan daripada semua pihak amat diperlukan terutama dari segi pelepasan dan pemilihan murid untuk menjalani latihan yang konsisten.

Kejohanan Olahraga tersebut telah berlangsung selama 3 hari (12-14 Februari 2008) dan disertai oleh sekolah-sekolah rendah dari 4 zon Hulu Langat iaitu Zon Kajang, Zon Semenyih, Zon Cheras dan Zon Ampang (yang mempunyai bilangan sekolah terbanyak dengan 17 buah sekolah). Walaupun kejohanan berlaku serentak dengan 4 zon mengadakan acara masing-masing namun perjalanan program berjalan lancar tanpa ada pertindihan dari segi masa dan acara.

Pada hari pertama kejohanan kontinjen kita begitu hampir untuk memenangi emas pertama acara ‘favourite’ 100 m Kelas 5 (tahun 5) melalui adik Rizalul Supandri namun kecundang di 10 m terakhir setelah mendahului agak jauh di awal dan pertengahan pecutan namun masalah kecederaan lutut sebelum hari kejohanan mengganggu tumpuannya. Namun demikian kita mendapat perkhabaran gembira, pingat gangsa dari acara Lontar Peluru Terbuka melalui adik Fakhari (pungutan pingat pertama sekolah) dan juga kekecewaan kita pada acara 100 m ditebus dengan pingat perak dalam acara 200 m Lelaki Kelas 5 oleh adik Nasrullah.

Tanpa disandarkan apa-apa harapan setelah melihat pesaing-pesaing sekolah lain yang mempunyai kelebihan daripada segi ketinggian fizikal, namun berbekalkan teknik lompatan yang betul kita berjaya memungut satu lagi gangsa daripada adik Hizbullah untuk acara Lompat Tinggi Lelaki Kelas 5. Pingat Emas yang dinanti-nantikan diperolehi melalui acara Lari Berpagar 80 m Kelas 5 melalui adik Rizalul Supandri yang jelas tidak menerima tentangan sengit oleh pelari-pelari lain. Bayangan pingat emas kedua juga semakin mendekati setelah kejayaan-kejayaan awal kita perolehi dengan menyandarkan acara berganti-ganti 4 x 200 m Lelaki Kelas 5 yang dibarisi oleh Hizbullah, Nadzrain, Nasrullah dan Rizalul. Walaubagaimanapun hasrat kita terhalang dan dikecewakan sekali lagi oleh pelari sekolah pilihan SK Taman Tasik pada 20 m terakhir setelah saling bertukar mendahului pada pelari ketiga dan keempat kita. “Kita rampas emas tu tahun depan cikgu,” Luahan semangat seorang atlit.

Apapun syabas kepada para atlit kita yang berjuang berhabis-habisan dan juga sumbangan para jurulatih dengan segala latihan, teknik dan strategi berguna untuk kita mampu pergi sejauh ini. Hanya sematkan tekad dan niat ikhlas semata-mata mengharumkan NAMA SEKOLAH. (Kontinjen Olahraga SK Pandan Jaya telah menghantar seramai 26 orang atlit dan 4 orang guru Cikgu Aizam Nizam dan Ustaz Fattah (Jurulatih), Cikgu Firman (Pengurus) dan Cikgu Kamsiah (Guru Pengiring Perempuan).

No comments:

Post a Comment

SEKALUNG PENGHARGAAN KEPADA PUAN ARINAWATI (IBU KEPADA IRFAN SOPHIAN & SOFEA RAIHANA) DI ATAS KESUDIAN BELIAU MENAJA T-SHIRT PASUKAN OLAHRAGA SEKOLAH. SEMOGA DAPAT MEMBAKAR LAGI SEMANGAT PARA ATLET KITA UNTUK BERJUANG MENJULANG NAMA SEKOLAH..

Halaman