Wednesday, March 24, 2010

Berita Olahraga di Kosmo

RABUAN PIT antara bekas jaguh negara yang lahir daripada Kejohanan Olahraga MAKSAK.


Olahraga negara semakin kelam
Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NORnorzasrudin@kosmo.com.my


RABUAN PIT antara bekas jaguh negara yang lahir daripada Kejohanan Olahraga MAKSAK.
SELEPAS sekian lama tidak dianjurkan, masa depan Kejohanan Olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) mula dipersoalkan.
Meskipun ada pihak mendesak supaya kejohanan yang penuh tradisi itu dianjurkan semula, ia masih menemui jalan buntu dan sehingga kini, belum ada perkembangan positif.
Untuk rekod, kejohanan itu pernah melahirkan nama-nama besar dalam lapangan olahraga seperti Rabuan Pit, Zaiton Othman, P. Rajakumari dan Datuk Dr. M. Jegathesan.
Malah kejohanan tersebut dianggap temasya terbesar kerana ia menghimpunkan 14 negeri selain penyertaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Penjara.


Melihatkan senario itu, jurulatih maraton negara, P. Sidamparam (gambar) adalah individu yang paling kecewa apabila kejohanan ini semakin dipinggirkan.
Sidamparam berkata, beliau tetap dengan pendirian untuk melihat kejohanan tersebut kembali dianjurkan demi masa depan atlet dan sukan olahraga negara.
"Olahraga adalah asas kepada sukan negara dan saya amat sedih jika kejohanan ini dibiarkan 'berkubur'," kata Sidamparam kepada Kosmo! baru-baru ini.
"Saya difahamkan, ramai bakat muda yang berada dalam sektor kerajaan memerlukan satu kejohanan khas yang boleh membuka peluang mereka untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
"Jadi, saya harap Kejohanan Olahraga MAKSAK akan diletakkan semula dalam kalendar tahunan MAKSAK pada masa akan datang."
Menurut Sidamparam lagi, dia telah berusaha untuk mengembalikan semula kejohanan ini sejak tahun 2004 tetapi sehingga kini ia masih belum terlaksana.
Katanya, terdapat ramai atlet-atlet berbakat yang berada dalam agensi kerajaan tetapi mereka tidak mendapat peluang untuk tampil membuktikan kehebatan.
Sementara itu, Penolong Penyelaras MAKSAK Malaysia, Nor Azlan Zainal berkata, Kejohanan Olahraga MAKSAK terpaksa dihentikan sementara kerana kurang mendapat penyertaan daripada badan gabungan.
"Peserta hanya ramai daripada kalangan angkatan tentera sahaja, seolah-seolah kejohanan itu seperti acara ATM pula," katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Nor Azlan, sehingga kini, belum ada tanda-tanda kejohanan tersebut yang kali terakhir diadakan pada 2003 akan dianjurkan semula.

No comments:

Post a Comment

SEKALUNG PENGHARGAAN KEPADA PUAN ARINAWATI (IBU KEPADA IRFAN SOPHIAN & SOFEA RAIHANA) DI ATAS KESUDIAN BELIAU MENAJA T-SHIRT PASUKAN OLAHRAGA SEKOLAH. SEMOGA DAPAT MEMBAKAR LAGI SEMANGAT PARA ATLET KITA UNTUK BERJUANG MENJULANG NAMA SEKOLAH..

Halaman