Saturday, April 24, 2010

Laporan Kejohanan Sukan Daerah

Stadium Bukit Jalil - Sepertimana tradisinya SK Pandan Jaya setiap tahun akan menghantar 1 kontinjen yang agak besar ke kejohanan Olahraga anjuran PPD Hulu Langat. Bezanya kali ini taraf pertandingan dinaikkan terus ke peringkat Daerah dimana sekolah akan bersaing dengan 80 lebih sekolah rendah yang ada di Hulu Langat berbanding hanya 20 sekolah di peringkat Zon sebelum ini. Pada tahun ini sekolah menghantar seramai 38 orang atlet diiringi 4 orang guru iaitu cikgu Khayril, Ustaz Fattah, Cikgu Maslinda dan Cikgu Firman. Kejohanan berlangsung selama 3 hari bermula 6 hingga 8 April di Stadium Bukit Jalil (Mercu Tanda Venue Sukan Negara) dan dikenali dengan nama baru iaitu Kejohanan Balapan dan Padang Peringkat Daerah Hulu Langat.


Menyedari hakikat yang terpaksa diterima kemungkinan tidak akan membawa pulang sebarang pingat kerana bersaing dengan banyak sekolah, kontinjen kali ini dibarisi banyak atlet pelapis sebagai pendedahan awal terutama untuk Tahun 4 dan Tahun 5. Pada hari pertama sahaja atlet-atlet 100 m sekolah sudah turun bersaing namun terpaksa akur dengan saringan yang kali ini begitu banyak (sehingga 14 saringan untuk satu acara) walaupun kedudukan mereka boleh dikatakan terbaik menduduki tempat ke-2. Namun hanya yang menduduki tempat pertama layak secara automatik ke pusingan seterusnya (faktor undian nasib juga perlu diambil kira-diundi awal dalam kumpulan kuat).
Apa yang tidak disangka-sangka adalah saingan sengit yang diberikan oleh para atlet kita, antaranya acara lompat tinggi tahun 6 lelaki melalui adik Naim yang menduduki tempat ke-5 (1.20 m-rekod sekolah 115 m) keseluruhan daripada hampir 60 peserta rasanya boleh dibanggakan walaupun baharu pertama kali mewakili sekolah. Selain daripada itu juga atlet tahun 5 lelaki melalui adik Amirul walaupun tidak hadir bertanding sukan di peringkat sekolah namun berjaya menduduki tempat ke-7 dengan ketinggian 115m- untuk rekod sekolah, pemenang emas sekolah tahun ini hanya menggapai ketinggian 105m. Jika keazaman dan latihan bersungguh-sungguh daripada adik Amirul diteruskan tidak mustahil tahun depan dia akan melakukan sesuatu.
Begitu juga acara lontar peluru melalui adik Azeeb Azizan dengan jarak 8.15m berjaya menduduki tempat ke-7 daerah, walaupun bertanding dengan ramai atlet. Harapan kini hadir daripada adik Tengku Khairul Nizam yang dijangka akan melakukan kejutan pada tahun depan setelah menerima pendedahan awal tahun ini. Untuk rekod adik Tengku pernah mengalahkan adik Azeeb semasa latihan di sekolah. Selain daripada itu adalah pencapaian pasukan acara lari ganti-ganti sekolah iaitu Tahun 5 yang menerima pujian dari sekolah lain apabila layak ke pusingan akhir 4x100m dan menduduki tempat ke-5 walaupun gandingan pasukan tersebut dikalangan tahun 4 dan tahun 5. Bakat-bakat muda lain tahun 4 yang diketengahkan dan diharapkan melakukan kejutan tahun depan adalah seperti adik Alif Syahmi, Mohd. Syam Fahil, Noradzsyiah, dan Nur Maisarah.
Bukan itu sahaja, pasukan relay 4x200 m tahun 6 lelaki turut layak ke pusingan akhir dan menduduki tempat ke-7, dan juga turut bersama layak ke pusingan akhir adalah pasukan 4x200m perempuan tahun 6 dan menduduki tempat ke-8. Agak malang tahun 6 lelaki dalam acara 4x100m tidak berjaya memasuki peringkat akhir kerana dibatalkan (adik Nizam menerima baton lebih awal dari kawasan yang dibenarkan) walaupun menduduki tempat pertama. Begitu juga dengan pasukan 4x100m tahun 6 apabila peserta terakhir terjatuh terlanggar besi (aspek keselamatan penganjur kurang dititikberatkan) dalam balapan walaupun kelihatan mampu menamatkan saingan di tempat pertama. Pasukan 4x100m & 4x200m perempuan tahun ini begitu menyerlah kerana pada peringkat zon sebelum ini pun mereka tidak mampu melangkah ke final (kebangkitan).



Setelah kecewa untuk 2 hari pertama kejohanan berlangsung, berita gembira muncul lewat petang hari terakhir apabila adik Nizam yang berjaya memasuki peringkat akhir lari berpagar 80m akhirnya menyumbang pingat yang tidak diduga iaitu Emas untuk sekolah. Sekali gus mengekalkan pingat yang dimenangi tahun lepas. Bezanya kali ini dia dipilih untuk mewakili Daerah ke Kejohanan Olahraga Peringkat Negeri Selangor. Bimbang pisang berbuah 2 kali, kali ini guru-guru pengiring bertindak nekad bertanyakan sistem pemilihan mereka yang mewakili Daerah kerana pada mulanya adik Nizam seolah-olah tidak disenaraikan kerana tidak diberikan surat tawaran mewakili daerah seperti pemenang-pemenang acara lain. Alhamdulillah nama dia disenaraikan walaupun keadaan agak tegang pada mulanya.


Kesimpulannya, walaupun hanya membawa pulang 1 pingat sahaja namun pencapaian ini telah mengangkat sekolah kita di atas sekolah-sekolah elit sukan seperti SK Taman Nirwana yang hanya membawa pulang 2 Perak 1 Gangsa daripada kejohanan tersebut. Selain daripada itu, pengalaman yang sangat berharga kepada barisan pelapis sekolah adalah ilmu yang paling berharga untuk mematangkan mereka kelak pada tahun depan. Seterusnya mampu mencipta kejutan walaupun sekolah kita agak kecil dari segi pencapaian sukan jika nak dibandingkan dengan sekolah-sekolah seperti SK Taman Tasik, SK Taman Nirwana, SK Bandar Tun Hussien Onn, SK Tasik Kesuma (yang juga mempunyai murid ramai yang mencecah angka ribu berbanding sekolah kita hanya 700 orang murid sahaja) namun saingan juga mampu hadir di kalangan atlet kita.

1 comment:

  1. salam. seronoknya tgk sekolah lama saya. sudah makin hebat sk pandan jaya. terasa nk kembali ke sekolah. nak sangat jumpa cikgu2 saya dulu kalau ada yang dari 97-99.

    ReplyDelete

SEKALUNG PENGHARGAAN KEPADA PUAN ARINAWATI (IBU KEPADA IRFAN SOPHIAN & SOFEA RAIHANA) DI ATAS KESUDIAN BELIAU MENAJA T-SHIRT PASUKAN OLAHRAGA SEKOLAH. SEMOGA DAPAT MEMBAKAR LAGI SEMANGAT PARA ATLET KITA UNTUK BERJUANG MENJULANG NAMA SEKOLAH..

Halaman